About Me

My photo
hai.. Selamat datang ke blog SalasiahNur. Enjoy da shortstories,my dairies and others. Love u all...

Saturday, December 11, 2010

Sebening Cinta

~khas didedikasikan buat temanku~

Bintang bersinar di dada langit. Bulan purnama menerangi dada malam. Bayu menghempas rasanya ke pipiku. Ombak pantai setia menemaniku saat ini. Tidak sesetia cintaku yang telah pergi.

“ kau biar betul Ring. Dah dekat setahun korang berdua bertunang. Tup-tup nak putus pulak. Kau jangan main-main”. Yoe menyergahku. Aku bercerita padanya bukan untuk menerima reaksi begitu. Aku merenung titis-titis air di luar gelas. Laluku seka dengan jari telunjuk. Lama jariku bermain-main di muka gelas itu. Fikiranku menerawang. Sedikit tak terbekas dengan kata-kata Yoe sebentar tadi. Buja yang baru keluar dari tandas masih dengan muka cerutnya. Mungkin sakit perutnya masih berbaki.
“ kau biar betul Ring? Betul ke kau nak putus tunang dengan Nadia tu? Benda nie tak boleh dibawa main-main”. Buja mengulang dialog serupa. Takkan aku nak main-main dengan perkara sebegini. Resah dan rasa hatiku, tiada siapa yang mampu menangkap jauh. Apakah di ruang benak mereka aku rela dengan semua ini.
…………………………………………….
Petang itu aku dan Nadia keluar ke Pantai Batu Buruk. Sudah dua minggu kami tak berjumpa. Jauh di sudut hati, berbekas rindu terhadapnya. Angin pantai petang itu meniup lembut. Ramai pengunjung yang menjengah. Di Terengganu, Pantai Batu Buruk merupakan satu pantai pelancongan yang popular. Pasirnya yang putih bersih dan ombaknya yang tenang bagai menggamit pengunjung. Dari tepi, aku tenung wajah Nadia yang bujur sirih. Sesekali, angin sedikit kuat menolak selendangnya ke tepi. Nadia ralit dengan telefon bimbit yang asyik berbunyi. Menandakan mesej masuk. Sedikit sebanyak hatiku terganggu. Apakah ada insan lain yang lebih penting padanya berbanding aku, tunangnya di hadapannya kini. Aku teliti setiap liku-liku wajah manis di hadapanku, cantik pada pandanganku. Manis di hatiku. Nadia Amirah Amir, insan yang telah lama bernaung di hatiku. Namun baru kini mampu aku miliki dan seluruh hajatku, aku ingin jadikan dia satu-satunya permaisuri hidupku. Akan ku bentangkan kesetiaan indah padanya, akan ku korbankan jiwa dan rasa deminya. Bakal permaisuri mahligai cintaku. Lamunanku terhenti. Bunyi telefon bimbit Nadia memecah kesunyian. Jarinya pantas menekan punat nombor satu persatu. Aku benar berasa tak senang.
“ siapa tue?”. Soalku sedikit keras. Nadia langsung tak menghormatiku di depannya. Kami keluar bukan untuk aku melihat dia ralit dengan telefon bimbitnya. Tapi nampaknya kehadiranku bagai tak terasa di sisinya. Hatiku sedikit cuak.
“ tak ada siapalah. Kawan jer”. Culas Nadia.
“ dah tue, penting sangat ke kawan tue sampai tak boleh berhenti main mesej sekejap. Abang nie tunggul ke depan sayang”. Kesabaranku sedikit terhakis.
“ tunggul apanya pulak. Dah abang tue orang, napa nak jadi tunggul pulak. Hilang akal ke apa”. Nadia memang sengaja mencabar anginku.
“ bak sini telefon tu”. Tanganku cuba merampas Nokia N70 ditangannya. Pantas Nadia mengelak. Lalu telefon bimbit itu disarungkan ke poket seluarnya. Mana mungkin aku akan menyeluk poketnya. Nadia pandai menyelamatkan diri.
“ dah lah, cakap pasal topik lain lah. Bosan ”. Nadia memuncungkan mulutnya. Lalu dia bangun dari benteng. Tangan kanannya mencapai sandal di atas pasir. Aku menurut. Nadia mendahului. Sedikit, aku rasakan Nadia makin jauh dari ku. Atau sememangnya dia sengaja menjauhkan dirinya dariku.
Peristiwa petang tadi berbekas di ruang ingatan. Hatiku tidak enak. Ada sesuatu yang telah mencemari hubungan ini. Bukan sehari dua aku kenali Nadia. Gadis manis berkulit cerah berperibadi lembut itu telah lama aku idamkan. Namun aku terpaksa menanamkan hasrat kerna dia sudah berpunya. Dalam hati, aku berdoa dia milikku. Layanannya kepadaku sebagai kawan amat menyentuh rasaku. Kemesraannya mencuit naluri. Teletah manjanya menghibur hati. Dan kini dia milikku, tetapi mengapa ini dugaannya.
………………………………………
“ Nadia..”. Nadia yang sibuk menconteng pasir di sebalik batu menoleh. Rakanku yang lain gamat bermain air. Air Terjun Sekayu riuh rendah. Ramai pengunjung hari ini. Apatah lagi hari ini sememangnya hari cuti umum di Terengganu. Hari Jumaat dan Sabtu tidak mungkin akan membiarkan Air Terjun Sekayu sepi sendiri. Ramai yang mengambil peluang beriadah bersama kawan-kawan dan kaum keluarga. Kejernihan dan kesejukan airnya amat menenangkan. Aku sendiri terketar-ketar menahan sejuk apabila sesekali angin menerpa. Dari jauh aku melihat keanak-anakan Yoe, Buja, Bak, Prof dan Koyie bergelak ketawa sesama sendiri. Sesekali Yoe mengerling pada aku dan Nadia. Nadia yang ditemani 3 orang rakannya sesekali berbual mesra dengan Sarimah di sebelahnya. Nor dan Wanie sudah hilang dibalik orang ramai. Cuma tinggal Sarimah yang tertinggal baju persalinannya bermain-main air dengan kaki. Tentu dia kecewa sekali terlepas peluang bermandi-manda.
“ apa dia?”. Nadia menjawab panggilanku. Ingin sekali aku meluahkan rasa hati. Persahabatan antara aku dan Nadia sudah tidak bermakna persahabatan bagiku. Ada satu perasaan menusup halus. Belum sempat aku membuka mulut, telefon bimbit Nadia berdering. Nadia pantas menjawabnya.
“ bie, sayang ada kat Sekayu nie. Line kat sini tak kuatlah. Nanti sayang call balik ok”. Cukup baris kata itu, aku cukup faham posisi Nadia milik orang. Hatiku patah. Namun masih rasa bersyukur kerana dapat bertemunya. Bukan senang untuk Nadia meluang masa denganku memandangkan dia bekerja dia Johor kala itu. Memahami realiti sebenar, aku mengalih topik yang ingin aku suarakan sebentar tadi. Baru sahaja aku ingin melamarnya menjadi kekasihku, aku tersedar bahawa dia telah dimiliki.
……………………………………….
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Malam ini tidak terlalu pekat. Bulan bercahaya seperti tandan tua menerangi awan-awan di sisinya. Seperti tontonan wayang, jelas ingatanku pada bekas tunangan yang telah lama pergi. Berita yang terdengar ke cuping telingaku tadi bagai ombak ganas memecah ketenangan pantai hatiku. Daripada abang ipar Nadia aku mendapat tahu dia bakal melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih hati. Farouk Riduan, sebaris nama itu mengundang amarahku.
“ siapa Farouk nie?”. Aku bersoal tanda curiga. Ada riak kalut pada wajah Nadia.
“ kawan orang lah! Bekas kawan sekolah”. Jawapan Nadia tidak memuaskan hatiku. Takkan sekadar kawan sekolah sehingga bermesej-mesej banyak begitu. Aku tidaklah menelek telefon Nadia, tapi daripada caranya aku faham mereka pasti selalu berhubung.
“ kawan sekolah sampai mesej meleret-leret macam tue? Banyak sangat ke cerita nak kongsi dengan dia?”. Aku hilang sabar.
“ apa abang nie! Dia adik angkat oranglah. Dengan adik angkat pun nak jeles”. Adik angkat. Serapat itu dia dengan adik angkatnya. Bagai lebih penting lelaki muda itu berbanding aku.
Aku masih tak puas hati dengan jawapan Nadia.
Suatu hari ketika di kedai makan, aku memandang telefon bimbit Nadia yang di letakkan atas meja. Nadia sibuk mencicip air jus orange nya. Mungkin terlalu dahaga. Pantas aku mengambil telefon Nadia. Dia tak sempat buat apa-apa. Aku dapat melihat reaksi terkejutnya. Mungkin dia tidak menyangka aku akan merampas telefonnya. Mukanya kelihatan pucat. Dia cuba merampas kembali telefon namun aku lagi cekap kali ini. Bimbang diperhati orang lain, Nadia terpaksa membiarkan aku menelek setiap mesej dalam inbox nya. Hatiku panas.
‘ sayang sibuk ke?’
“ siapa hantar mesej nie?”. Mesej daripada serangkai nombor tak bernama itu memecahkan keseluruhan tembok kesabaranku. Aku menyambar tangan Nadia ke kereta. Nadia hanya mampu menurut. Aku menghentikan Proton Saga kelabuku di birai jalan Pantai Airport Sultan Mahmud. Kesabaranku hilang sama sekali.
“ siapa yang hantar mesej nie?!!”. Soalku keras. Nadia yang tadinya nampak sedikit kecut semakin berani menjawab.
“ kawan orang lah!”. Kawan? Kawan apa sampai bersayang-sayang. Getus hatiku.
“ kawan apa kalau lagu nie? Kawan menda kalau sampai bersayang-sayang!”. Suaraku makin keras.
“ dah lah. Hantar orang balik”. Nadia memandang ke luar tingkap. Aku menarik tangannya agar dia memandangku.
“ bagi tahu abang sapa budak nie? Adik angkat kesayangan tu kan?”. Aku sudah dapat mengagak dari dulu lagi. Wajah Nadia masam mendengar tuduhan berasasku.
“ memang dia adik angkat sayang. Napa? Abang nak kata apa”. Kewarasanku hilang entah ke mana saat itu. Pengakuan Nadia bagai batu besar menghempap kepalaku.
“ doh kalo gini kita putus tunang ah senang”. Terpancul ayat itu daripada mulutku tanpa ku sedari. Sedikit tanpa niatku.
“ ok. Kita putus!”. Jelas kata-kata Nadia menyinggah cuping telingaku.
……………………………………
“ betul ke kamu nak mak minangkan budak nie?”. Soal mak malam tu. Gambar Nadia dibelek-belek. Mak membelek gambar Nadia macam tak pernah jumpa Nadia, sedangkan aku pernah membawa Nadia pulang ke rumah. Mak memandangku serius.
“ jangan main-main Ring. Hal bertunang nie bukan perkara kecik”. Adi dan Ima yang melekap depan televisyen berpaling sekilas, kemudiannya terus menghayati rancangan tv mereka. Ayah sekadar diam. Sibuk dengan akbar Metro.
“ takkan Ring nak main-main pulak. Betullah nie”. Aku meyakinkan mak.
“ kamu baru kenal dia 3 bulan Ring. Kenal lah lama sikit”. Mak seolah-olah kurang bersetuju. Bukan bermaksud dia tak sukakan Nadia tapi mungkin tempoh hubungan aku dan Nadia bercinta terlalu singkat baginya untuk aku mengikat tali pertunangan.
“ mak, lepas bertunang kan boleh lagi kenal mak. Lagipun, kata orang berkenalan lepas bertunang ni lebih afdal. Tak gitu ayah?”. Sengaja aku menekankan perkataan afdal. Aku cuba mendapatkan sokongan ayah. Ayah hanya mengangkat kening. Kemudiannya bersuara.
“ budak tu bukannya budak kecik Mah, biarlah dia nak bertunang. Pakai duit dia, bukan duit kita”. Yes! Sokongan padu dari ayah. Itu yang kita nak. Hehehehehe… Mak buat muka kelat, akhirnya dia bersetuju. Seminggu kemudian, rombongan merisikku sampai ke Marang. Tanggal 13 Mac 2009, Nadia sah menjadi tunanganku. Tiap kali aku melihat cincin pertunanganku, hati berbunga riang. Tidakku menyangka akhirnya dia menerimaku setelah lama aku menanti.
………………………………………
Nadia di sisiku tersenyum manis. Aku mengambil mikrofon lalu ku hulur padanya, lagu ‘Kenangan Yang Terindah’ daripada Samsons selalu menjadi pilihan kami untuk berkaraoke. Aku mengerling Nadia yang kusyuk menjaga pitchingnya. Sekilas matanya melihatku, seakan sedarnya dirinya diperhatikan. Tanpa ku sangka dia tergelak besar. Alangkah indahnya saat itu. Aku tersenyum sendiri.
“ woi!! Koya, koya”. Yoe menyergah. Ingatanku terganggu. Ish, bila pulak mamat ni sampai. Tak dengar pun bunyi motor cabuknya tadi.
“ aku dok dengo pun bunyi muto mung”. Yoe menarik kerusi merah di depanku.
“ aku mari dengan Buja lah. Pak Mat, teh tarik dua”. Pak Mat yang sedang menyiapkan air di ruang hadapan kedai menyahut.
“ mana dia?”. Pelik, Yoe kata datang dengan Buja tapi depan aku ada Yoe sorang.
“ tue”. Yoe menjuihkan mulutkan. Aku berpaling ke belakang melihat gelagat Buja cuba ‘mengusaha’ seorang awek di meja belakang. Tak sudah-sudah!
……………………………………
Aku membuka laptop, terdetik rasa hati ingin melihat semula gambar kenangan dengan Nadia. Kenangan di Muzium Losong Terengganu, Pantai Batu Burok, Pantai Airport dan Air Terjun Sekayu menggamit kotak ingatanku. Takku sangka Nadia nekad memutuskan tali pertunangan kami setelah pergaduhan besar hari itu. Aku terkaku sendiri. Memang benar dia berhubungan dengan Farouk. Berita perkahwinan mereka bakal berlangsung sudah cukup memberi bukti tanggapanku benar belaka. Nadia bermain cinta di belakangku. Di corong radio Terengganu fm yang dipasang Adi, jelas lagu kenangan cinta aku dan Nadia dimainkan. Aku meneliti setiap baitnya. (‘Kenangan Yang Terindah’ daripada Samsons)
Aku yang lemah tanpamu
Aku yang rentan kerana
Cinta yang tlah hilang darimu yang mampu menyanjungku
Selama mata terbuka
Sampai jantung tak berdetak
Selama itupun aku mampu ntuk mengenangmu

Darimu
Kutemukan hidupku
Bagiku kaulah cinta sejati

Bila yang tertulis untukku
Adalah yang terbaik untukmu
Kan ku jadikan kau kenangan terindah dalam hidupku
Namun takkan mudah bagiku
Meninggalkan jejak hidupku
Yang telah terukir abadi sebagai kenangan yang terindah

Aku mencapai kunci kereta. Kupandu kereta ke Pantai Batu Burok yang hanya mengambil masa hanya beberapa minit dari rumah. Ku parkirkan kereta di birai jalan. Lalu berjalan seorang diri menyusuri pantai. Pantai ini yang mencipta kenangan indah aku dan Nadia, pantai ini sendiri jugalah yang menyaksikan keretakan cinta kami. Masih terbayang Nadia berlari anak mengejar ombak yang makin surut. Apabila Ombak datang kembali, dia melarikan sendiri seolah-olah dikejar. Aku renung bulan. Di manakah lagi harus keletakkan kepercayaanku padanya.
Melihat batang kayu di sisi pantai, aku mengambil peluang untuk duduk. Menilai sendiri apa yang telah aku jalani. Nadia telah meninggalkan aku hampir setahun namun ingatanku pada hubungan itu menangkis sedikit demi sedikit kepercayaan ku terhadap wanita. Masihkah ada yang di luar sana yang tercipta untukku dengan keikhlasan di hatinya. Apakah masih ada harapan tersisa untuk aku jengah bahagia. Pengalaman mengajarku akan satu kepedihan, masihkan ada pengubat yang sudi datang menghampiri.
Penulis: Salasiah Nur/fb
1 pagi
~take tyme dari 11 malam- 1pagi~
02/12/2010. (benar-benar mengujiku)

Friday, December 10, 2010

Pelangi-pelangi Cinta

Prolog
Sofia menyepak-nyepak pasir pantai yang masih basah dihempas ombak. Perlahan dia menyusuri tepian pantai sambil memandang ke pasiran kemudian beralih ke langit jingga.
Lela, cinta Majnunmu setia di sana
Menanti di ufuk pelangi petang
Setelah hujan gerimis serik
Kala mentari memancar dan awanan kembali memutih kapas
Teringat dia akan bait sajak ‘ Sumpahan Lela Majnun’ nukilan Ahdinan Utara. Apakah dia juga terkena sumpahan lagenda cinta Lela Majnun.
Mentari petang itu bening, memerah warnanya. Kian tenggelam melabuh tirai untuk hari ini. Awanan masih setia. Mungkin awan-awan itu setia menanti kehadiran bulan. Awan ketemu keduanya tapi mentari dan bulan tak pernah bertemu!
………………………………
“ kau rindukan Rashid ke?.” Terperanjat Sofia dengan soalan tiba-tiba Maryam yang baru meletak sandar punggungnya di bucu meja.
“ tak adalah….” Jawab Sofia memanjang.
“ habis tu siapa? Aku tengok Rashid makin ligat mengorat kau semula. Inilah yang dikatakan, jodoh cinta tu panjang.”
“ sejak bila pulak ada istilah jodoh cinta ni? Aku tak pernah dengar pulak. Jodoh kawen tu adalah orang selalu sebut.” Tangkas tangan Sofia menyusun fail-fail yang berselerak. Sebentar tadi pelajar-pelajar SMK Kerteh sudah dilepaskan pulang. Loceng terakhir yang baru 15 minit lalu kedengaran sememangnya amat-amat dinantikan pelajar.
“ ha.. Itulah kau tak tahu. Jodoh cinta nie.. Alah, kasih lama bertaut kembali.”
“ mengarutlah kau ni.”
Benarkah kata Maryam, kasih lama bertaut kembali?
Sofia dan Maryam menuju ke kereta, baru sahaja mereka masuk, telefon bimbit Sofia berbunyi. Mesej daripada Iskandar. Maryam memanjangkan leher.
“ pegawai pelajaran tu ke?” Sofia sekadar mengangguk. Ah, biarlah dulu. Sampai rumah sewa nanti baru aku jawab. Getus hatinya.
………
Iskandar Irham Ahmad. Sepotong nama yang tak mudah untuk dilupakan. Walau perkenalan dengan pegawai pelajaran daerah itu belum menjengah setengah tahun, Sofia selesa dengan lelaki yang berkumis nipis itu. Dia selesa dengan keperibadian Iskandar. Orangnya penyabar dan sering menyokong Sofia dalam pelbagai aspek. Ketika dia mempunyai masalah hal ehwal pelajar, Iskandarlah yang menemaninya. Ketika dia pening tentang kerjaya, Iskandarlah tempat dia mengadu. Tanpa dia sedar, Iskandar bagai sebahagian hidupnya. Sebahagian hidup yang meneguhkannya.
“ Sofia.. Sejak kehadiran awak dalam hidup saya. Saya rasa gembira. Tenang.” Sofia hanya diam di hujung talian. Terkedu dengan kata-kata pemanggil yang menelefonnya sejak 20 minit yang lalu.
“ Sofia, awak dengar tak?” Iskandar resah, tiada jawapan daripada pihak Sofia.
“ A,aaa. Saya dengar.” Iskandar tersenyum. Dia dapat bayangkan kekalutan gadis kecil molek itu. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia makin mudah berbincang dengan Sofia. Bagai tanpa paksaan, urusan kerjanya sedikit sebanyak dikongsi bersama Sofia. Sebagai pegawai pelajaran, dia tidak betah di pejabat. Ada sahaja tugas yang menuntut dia keluar. Dan tiap kali itu, dia dan Sofia saling berhubungan. Waima dia ingin memulakan perjalanan dan selamat sampai ke rumah pun diberitahu pada Sofia. Perkenalan di pejabat pelajaran tempoh hari memanjangkan pertemuan pertama mereka di SMK Badrul Alam Shah sewaktu pertandingan pantun peringkat zon. Mereka berdua menjadi juri ketika itu. Tidak pula disangka hingga serapat ini. Memang terniat di hati Iskandar untuk mengenali Sofia lebih lanjut. Pertemuan sekadar berbalas pandang di pejabat pelajaran daerah itu menimbulkan perasaan ingin mengenali Cikgu Sofia dengan lebih dekat. Iskandar sering menelefon Sofia. Walau kadang-kadang gadis itu kurang selesa kerana bimbang bil telefon Iskandar melambung naik, dia tidak sampai hati untuk meletak ganggang telefon apatah lagi perbualan dengan Iskandar sering memberikan input baru kepadanya.
………………………
“ kau putus tunang, dia solo. Ha… apa salahnya kalau korang berdua melangkah lebih jauh Pia.” Nasihat Kak Saodah. Bernas.
“ aku sokong kata-kata kak Saodah tu. Kau perlu beri diri kau peluang Sofia. Alah, Rashid tu, lupakan ajerlah. Lagipun Iskandar ni lagi gentleman.” Maryam menyambung. Dua orang nie, selagi aku tak hentikan selagi tu lah menambah cerita. Gomel Sofia dalam hati. Kadang-kadang rimas dengan sikap Cikgu Maryam dan Cikgu Saodah yang suka mencampuri hal peribadinya.
“ mana kak Odah tau Iskandar tu solo Kak Odah.” Sofia sendiri tidak tahu sama ada Iskandar bujang mahupun sudah berpunya, pandai-pandai pula Saodah membuat andaian. ‘iskandar… dia tu..’
“ alah kau nie. Dah nama pun duduk rumah bujang. Maknanya belum kahwin lah tu. Akak bukan tak kenal Adnan, kawan rumah dia tu.”
“ alah akak, mana tahu kalau dia tu dah kawin. Kena pindah kat sini bawak diri ajer. Anak isteri tinggal kat kampong.” Sofia menjawab andaian Kak Odah. Maryam dan Saodah berfikir sendiri, ada betulnya juga kata-kata Sofia. Kadang-kadang itulah yang dilakukan oleh pegawai kerajaan yang baru berpindah. Sementara mencari rumah sewa untuk keluarga, ditinggalkan keluarga di kampong dahulu. Mungkin begitu juga yang dilakukan Iskandar, lelaki berusia 25 tahun itu. Sebelum ini dia bertugas di Sabah. Baru sahaja 8 bulan yang lalu dipindahkan ke daerah Kemaman.
“ mungkin juga kata Sofia tue Kak Odah. Kadang-kadang ada juga yang memang bertahun-tahun duduk rumah bujang. Anak isteri duduk kat kampong, seminggu sekali pergi jenguk anak isteri. Lagipun akak, orang lelaki sekarang nie bukan boleh percaya sangat. Dah kahwin mengaku bujang. Lagi pulak duduk bersendiri ni, makin naik daunlah.” Mengiyakan kata-kata Sofia, Maryam, ibu beranak 2 itu mencelah lagi. Dia tahu Iskandar lebih handsome, gentleman berbanding Rashid tetapi dia lebih setuju sekiranya Sofia menyambung kasih dengan Rashid, bekas tunang Sofia itu kerana Sofia sudah jelas tentang siapa Rashid yang sebenar, siapa keluarganya, di mana tempat tinggalnya. Maryam bukan sehari mengenali Sofia dan Rashid malah sejak sekolah lagi. Bagi Maryam keputusan putus tunang yang dibuat oleh Sofia sebelum ini kurang tepat. Sofia malas melayan mereka berdua. Kak Saodah yang suka buat penilaian sendiri dan Maryam yang mudah berubah fikiran. Dia menyibukkan diri menanda buku latihan pelajar.
Rashid Amirul Hamid, jurutera muda yang pernah mengikat tali pertunangan dengan Sofia dua tahun lalu tidak berhenti mencari jalan bagi mengait kembali cinta antaranya dan Sofia. Dia tidak menyalahkan Sofia dengan keputusan lalu, namun dia tahu Sofia sendiri merasa terhukum dengan keputusan yang dibuatnya. Bukan dia tidak tahu betapa dalamnya cinta Sofia, kerana itulah dia kembali setelah setahun menghilangkan diri bagi mengubat lara. Dia mengalah, hatinya tetap inginkan Sofia walau sejauh mana dia pergi.
…….
“ kau dah beritahu dia?” Soal Adnan yang mencapai akhbar di atas meja tv sambil meletak duduk ke lantai.
“ beritahu tentang apa?” Soalan Adnan dijawab dengan persoalan. Iskandar kehairanan. Mungkin belum dapat menangkap maksud teman serumahnya itu.
“ beritahu Sofia tentang status kau lah. Kedudukan kau dan Lia sekarang ni.” Adnan tidak mahu ada pihak yang terluka. Dia tahu akan keakraban antara Iskandar dan Sofia, malah dia juga tahu kedudukan Iskandar dengan Zahlia, isterinya yang kini bertugas di Kuala Lumpur.
“ entahlah Nan. Aku tak tahu nak beritahu dia macam mana. Aku taknak kehilangan dia Nan.” Ada nada resah dalam kata-kata itu. Iskandar bingung. Bingung dengan keadaan sekarang. Dia sendiri tidak menyangka, pertukaran dia ke Kemaman menemukan dia dan Cikgu Sofia. Sejenak dia terlupa siapa dirinya.
“ Is, walau rumah tangga kau dan Lia di hujung tanduk tapi kamu berdua masih suami isteri yang sah. Kau tak boleh buat macam nie pada Lia dan Sofia, Is. Salah.” Sebagai kawan rapat ketika menuntut dahulu, tidak salah rasanya dia menasihati Iskandar. Walaupun ia hal yang amat peribadi. Melihat Iskandar terdiam, Adnan menyambung hujah.
“ Is, Sofia tak salah dalam hal ni. Dia tak tahu apa-apa. Lia pula masih ada hak ke atas kau sekalipun kau menafikan. Is, aku rasa baik kau beritahu hal yang sebenar pada Sofia, tak adil bagi dia. Sekalipun hubungan kamu berdua berkembang, satu masa nanti kau tetap kena pilih antara dua. Baik kau fikir baik-baik kawan.” Benar kata Adnan, sekalipun hubungan dia dan Zahlia bagai retak menanti belah, Lia tetap isterinya yang sah. Selagi dia tidak menjatuhkan talak selagi itulah dia punya tanggungjawab dan Sofia, gadis itu…..
(Judul lagu: Tuhan Tolong)
Kurasa getaran cinta
Di setiap dakapan matanya
Andai ku cuba ntuk berpaling
Akankah sanggupku hadapi kenyataan ini 

Oh Tuhan tolonglah aku
Jangan engkau biarkan diriku jatuh cinta kepadanya
Sebab andai itu terjadi
Akan ada hati yang terluka
Tuhan tolong diriku

Walaupun terasa indah
Andaikan ku dapat juga dirinya
Namun ku harus tetap bertahan
Menjaga cinta yang terlebih dulu kujalani
……………………………
Majlis pernikahan sekadar menunggu masa, menanti kehadiran pengantin lelaki dan tok kadi. Di dalam bilik pengantin yang dirias indah Sofia tidak keruan. Ke hulu dan ke hilir sambil memegang sikat bulat. Dipegang kemas sikat merah hitam itu. Hatinya terusik. Berdebar-debar. Baru sebentar tadi dia siap didandan oleh mak andam dan jurusolek. Lalu ditinggalkan sendirian di dalam bilik. Sementara kedua-dua penolongnya tadi mengisi perut yang kosong sejak pagi tadi. Sofia resah. Hari ini merupakan hari Jumaat yang bersejarah dalam hidupnya. Hari dia bakal dihijabkabulkan dengan sang kekasih hati. Getaran hati masih tidak surut. Lantas dicapai telefon bimbit di atas meja solek. Seusai mengambil tempat di hujung kepala katil, dia menelefon Iskandar. Dalam hatinya, dia berdoa agar Iskandar cepat mengangkat telefon.
“ awak….” Sofia merengek.
“ kenapa nie” Iskandar buat-buat tak faham.
“ saya gemuruhlah… takut..”
“ takut apanya.. lelaki yang jabat tangan tok kadi. Bukan perempuan kan? Yang awak lebih-lebih berdebar ni kenapa?” Iskandar buat-buat marah.
“ ish awak nie, saya telefon nak dia redakan. Main-main pulak.” Di hujung talian Iskandar tergelak besar. Gembira hatinya mendengar rajukan Sofia. Dia tahu walau Sofia gemuruh tetapi dalam hatinya menyulam bunga-bunga bahagia.
“ ala, saya gurau pun tak boleh. Garangnya pengantin ni”. Sofia mencebik.
“ awak dah kat mana?”
“ dah nak sampai ni. Sabarlah… takkan larinya pengantin lelaki awak. Oklah awak, dah sampai depan rumah awak nie. ” Iskandar memutuskan talian. Memberi perhatian pada pemanduan, mencari tempat letak kereta yang sesuai. Wanita di sebelahnya tidak putus-putus senyum. Tahu akan kemanjaan Sofia pada Iskandar.
Dari luar, Sofia dapat mendengar riuh rendah tetamu.
“ pengantin lelaki dah sampai. Tok kadi ada sekali” laungan seorang lelaki dari luar itu membuat dia tidak betah. Maryam di sebelah bagai memahami. Dia juga pernah melalui pengalaman begitu dahulu.
……………..
Majlis pernikahan akan dimulakan sebentar lagi. Pengantin lelaki siap berada di atas bantal sederhana besar, menanti dinikahkan. Baru sahaja tadi Sofia disoal tok kadi sama ada setuju atau tidak dinikahkan dengan lelaki yang dimaksudkan. Dengan tundukan malu, Sofia menjawab ya. Sekarang tiada apa yang menghalang. Seluruh tetamu menyatukan pandang pada upacara pernikahan.
“Rashid Amirul bin Hamid, aku nikahkan akan dikau dengan Nur Sofia binti Amran dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai”
“ Saya terima nikahnya Nur Sofia binti Amran dengan mas kahwin 80 ringgit tunai..”
Air mata Sofia menitis sejurus selepas mendengar lafaz nikah daripada Rashid. Hatinya benar-benar lega. Dia bahagia.
Seusai majlis persandingan yang berlangsung pada hari yang sama. Mereka berkumpul, menghantar Iskandar, isterinya dan bayi mereka pulang.
“ Rashid, si Sofia nie call aku tadi. Gemuruh lah. Takut lah.. Macam dia yang nak jabat tangan tok kadi.” Sengaja Iskandar mengeluarkan cerita itu. Menyakat Sofia yang kini sah sebagai isteri kepada sepupu isterinya.
“ dia telefon kau. Jealous ni.. ada ke patut nak kahwin dengan aku sempat lagi bermanja dengan kau” Rashid berseloroh, tanpa ada rasa cemburu mahupun berbelah bahagi terhadap cinta Sofia padanya.
“ abang ni… kesian Sofia tu. Merah dah mukanya tu.” Zahlia yang sibuk mengendong Natrah cuba menyelamatkan Sofia daripada usikan suami dan sepupunya. Sofia mencubit manja lengan sasa Rashid. Hilai tawa Iskandar dan Rashid pecah.
Hari itu hari yang membahagiakan. Mentari mencerahkan langit mendung cinta antara mereka berempat. Setahun lalu, Iskandar mengambil keputusan untuk memberitahu kedudukan sebenar kepada Sofia, seperti saranan Adnan. Sofia terkilan, tak disangka ada rahsia yang disembunyikan Iskandar namun dia tabah dan menasihati untuk Iskandar pulang pada Zahlia.
“ saya sedih.. Saya rasa bersalah sebab buat awak berada di tengah-tengah antara saya dan Lia. Kadang-kadang saya marah awak tentang Lia, saya selalu salahkan awak.” Sofia kadang-kala lemah atas apa yang terjadi. Benar dia sendiri yang meminta Iskandar kembali pada Zahlia. Ikatan perkahwinan antara mereka harus dipertahankan. Namun disebalik itu dia rasa berdosa terlalu menyalahkan Iskandar atas apa yang terjadi. Serta juga tidak memberikan ketenangan yang sepatutnya kepada Iskandar ketika lelaki itu memerlukan sokongan saat berada di tengah-tengah laluan. Antara dia dan Zahlia.
“ saya yang bersalah dalam hal ni. Awak tak perlu rasa apa-apa. Dah la, tak payah ingat kisah yang dah lepas biar tersemat dalam kotak hati je ok. Lepaskan apa yang berlaku. Saya minta maaf.” Iskandar tabah. Dan sering meletakkan kesalahan pada bahunya. Sofia mengakui Iskandar lelaki yang baik. Atas sayang yang masih ada dan dorongan Sofia serta Adnan dia membuka ruang bagi perkahwinannya dengan Zahlia. Mencantum kembali retak yang tercipta.
Tak disangka pula Zahlia, isteri Iskandar ialah sepupu rapat Rashid. Daripada cerita Zahlia lah, Sofia jatuh cinta sekali lagi pada Rashid. Zahlia lah yang menyedarkan Sofia betapa setianya Rashid. Betapa cinta Rashid padanya hingga amat terluka ketika ikatan pertunangan antara mereka terputus. Lalu Rashid ke Singapura. Atas desakan rindu, Rashid kembali mencantum kenangan cinta. Kesabaran dan kesungguhan Rashid membuka pintu hati Sofia, sekian kalinya.
~Tamat~
Siap pada 2.50 pagi.. Mula menulis 12.45 pagi.
07.12.10
Idea cerpen ni wujud selepas kata-kata seseorang.
“kisah yang dah lepas biar tersemat dlm kotak hati jer ok”
~terima kasih kerana menguatkan ku dan menemani lelahku. Nasihat tue berhargalah~
Erm… Rashid, bila nak datang meminang a’a?  tq Iskandar sbb sokong I cepat kawen, hahahhahaha..
<Photo 1>

Followers