About Me

My photo
hai.. Selamat datang ke blog SalasiahNur. Enjoy da shortstories,my dairies and others. Love u all...

Friday, December 10, 2010

Pelangi-pelangi Cinta

Prolog
Sofia menyepak-nyepak pasir pantai yang masih basah dihempas ombak. Perlahan dia menyusuri tepian pantai sambil memandang ke pasiran kemudian beralih ke langit jingga.
Lela, cinta Majnunmu setia di sana
Menanti di ufuk pelangi petang
Setelah hujan gerimis serik
Kala mentari memancar dan awanan kembali memutih kapas
Teringat dia akan bait sajak ‘ Sumpahan Lela Majnun’ nukilan Ahdinan Utara. Apakah dia juga terkena sumpahan lagenda cinta Lela Majnun.
Mentari petang itu bening, memerah warnanya. Kian tenggelam melabuh tirai untuk hari ini. Awanan masih setia. Mungkin awan-awan itu setia menanti kehadiran bulan. Awan ketemu keduanya tapi mentari dan bulan tak pernah bertemu!
………………………………
“ kau rindukan Rashid ke?.” Terperanjat Sofia dengan soalan tiba-tiba Maryam yang baru meletak sandar punggungnya di bucu meja.
“ tak adalah….” Jawab Sofia memanjang.
“ habis tu siapa? Aku tengok Rashid makin ligat mengorat kau semula. Inilah yang dikatakan, jodoh cinta tu panjang.”
“ sejak bila pulak ada istilah jodoh cinta ni? Aku tak pernah dengar pulak. Jodoh kawen tu adalah orang selalu sebut.” Tangkas tangan Sofia menyusun fail-fail yang berselerak. Sebentar tadi pelajar-pelajar SMK Kerteh sudah dilepaskan pulang. Loceng terakhir yang baru 15 minit lalu kedengaran sememangnya amat-amat dinantikan pelajar.
“ ha.. Itulah kau tak tahu. Jodoh cinta nie.. Alah, kasih lama bertaut kembali.”
“ mengarutlah kau ni.”
Benarkah kata Maryam, kasih lama bertaut kembali?
Sofia dan Maryam menuju ke kereta, baru sahaja mereka masuk, telefon bimbit Sofia berbunyi. Mesej daripada Iskandar. Maryam memanjangkan leher.
“ pegawai pelajaran tu ke?” Sofia sekadar mengangguk. Ah, biarlah dulu. Sampai rumah sewa nanti baru aku jawab. Getus hatinya.
………
Iskandar Irham Ahmad. Sepotong nama yang tak mudah untuk dilupakan. Walau perkenalan dengan pegawai pelajaran daerah itu belum menjengah setengah tahun, Sofia selesa dengan lelaki yang berkumis nipis itu. Dia selesa dengan keperibadian Iskandar. Orangnya penyabar dan sering menyokong Sofia dalam pelbagai aspek. Ketika dia mempunyai masalah hal ehwal pelajar, Iskandarlah yang menemaninya. Ketika dia pening tentang kerjaya, Iskandarlah tempat dia mengadu. Tanpa dia sedar, Iskandar bagai sebahagian hidupnya. Sebahagian hidup yang meneguhkannya.
“ Sofia.. Sejak kehadiran awak dalam hidup saya. Saya rasa gembira. Tenang.” Sofia hanya diam di hujung talian. Terkedu dengan kata-kata pemanggil yang menelefonnya sejak 20 minit yang lalu.
“ Sofia, awak dengar tak?” Iskandar resah, tiada jawapan daripada pihak Sofia.
“ A,aaa. Saya dengar.” Iskandar tersenyum. Dia dapat bayangkan kekalutan gadis kecil molek itu. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia makin mudah berbincang dengan Sofia. Bagai tanpa paksaan, urusan kerjanya sedikit sebanyak dikongsi bersama Sofia. Sebagai pegawai pelajaran, dia tidak betah di pejabat. Ada sahaja tugas yang menuntut dia keluar. Dan tiap kali itu, dia dan Sofia saling berhubungan. Waima dia ingin memulakan perjalanan dan selamat sampai ke rumah pun diberitahu pada Sofia. Perkenalan di pejabat pelajaran tempoh hari memanjangkan pertemuan pertama mereka di SMK Badrul Alam Shah sewaktu pertandingan pantun peringkat zon. Mereka berdua menjadi juri ketika itu. Tidak pula disangka hingga serapat ini. Memang terniat di hati Iskandar untuk mengenali Sofia lebih lanjut. Pertemuan sekadar berbalas pandang di pejabat pelajaran daerah itu menimbulkan perasaan ingin mengenali Cikgu Sofia dengan lebih dekat. Iskandar sering menelefon Sofia. Walau kadang-kadang gadis itu kurang selesa kerana bimbang bil telefon Iskandar melambung naik, dia tidak sampai hati untuk meletak ganggang telefon apatah lagi perbualan dengan Iskandar sering memberikan input baru kepadanya.
………………………
“ kau putus tunang, dia solo. Ha… apa salahnya kalau korang berdua melangkah lebih jauh Pia.” Nasihat Kak Saodah. Bernas.
“ aku sokong kata-kata kak Saodah tu. Kau perlu beri diri kau peluang Sofia. Alah, Rashid tu, lupakan ajerlah. Lagipun Iskandar ni lagi gentleman.” Maryam menyambung. Dua orang nie, selagi aku tak hentikan selagi tu lah menambah cerita. Gomel Sofia dalam hati. Kadang-kadang rimas dengan sikap Cikgu Maryam dan Cikgu Saodah yang suka mencampuri hal peribadinya.
“ mana kak Odah tau Iskandar tu solo Kak Odah.” Sofia sendiri tidak tahu sama ada Iskandar bujang mahupun sudah berpunya, pandai-pandai pula Saodah membuat andaian. ‘iskandar… dia tu..’
“ alah kau nie. Dah nama pun duduk rumah bujang. Maknanya belum kahwin lah tu. Akak bukan tak kenal Adnan, kawan rumah dia tu.”
“ alah akak, mana tahu kalau dia tu dah kawin. Kena pindah kat sini bawak diri ajer. Anak isteri tinggal kat kampong.” Sofia menjawab andaian Kak Odah. Maryam dan Saodah berfikir sendiri, ada betulnya juga kata-kata Sofia. Kadang-kadang itulah yang dilakukan oleh pegawai kerajaan yang baru berpindah. Sementara mencari rumah sewa untuk keluarga, ditinggalkan keluarga di kampong dahulu. Mungkin begitu juga yang dilakukan Iskandar, lelaki berusia 25 tahun itu. Sebelum ini dia bertugas di Sabah. Baru sahaja 8 bulan yang lalu dipindahkan ke daerah Kemaman.
“ mungkin juga kata Sofia tue Kak Odah. Kadang-kadang ada juga yang memang bertahun-tahun duduk rumah bujang. Anak isteri duduk kat kampong, seminggu sekali pergi jenguk anak isteri. Lagipun akak, orang lelaki sekarang nie bukan boleh percaya sangat. Dah kahwin mengaku bujang. Lagi pulak duduk bersendiri ni, makin naik daunlah.” Mengiyakan kata-kata Sofia, Maryam, ibu beranak 2 itu mencelah lagi. Dia tahu Iskandar lebih handsome, gentleman berbanding Rashid tetapi dia lebih setuju sekiranya Sofia menyambung kasih dengan Rashid, bekas tunang Sofia itu kerana Sofia sudah jelas tentang siapa Rashid yang sebenar, siapa keluarganya, di mana tempat tinggalnya. Maryam bukan sehari mengenali Sofia dan Rashid malah sejak sekolah lagi. Bagi Maryam keputusan putus tunang yang dibuat oleh Sofia sebelum ini kurang tepat. Sofia malas melayan mereka berdua. Kak Saodah yang suka buat penilaian sendiri dan Maryam yang mudah berubah fikiran. Dia menyibukkan diri menanda buku latihan pelajar.
Rashid Amirul Hamid, jurutera muda yang pernah mengikat tali pertunangan dengan Sofia dua tahun lalu tidak berhenti mencari jalan bagi mengait kembali cinta antaranya dan Sofia. Dia tidak menyalahkan Sofia dengan keputusan lalu, namun dia tahu Sofia sendiri merasa terhukum dengan keputusan yang dibuatnya. Bukan dia tidak tahu betapa dalamnya cinta Sofia, kerana itulah dia kembali setelah setahun menghilangkan diri bagi mengubat lara. Dia mengalah, hatinya tetap inginkan Sofia walau sejauh mana dia pergi.
…….
“ kau dah beritahu dia?” Soal Adnan yang mencapai akhbar di atas meja tv sambil meletak duduk ke lantai.
“ beritahu tentang apa?” Soalan Adnan dijawab dengan persoalan. Iskandar kehairanan. Mungkin belum dapat menangkap maksud teman serumahnya itu.
“ beritahu Sofia tentang status kau lah. Kedudukan kau dan Lia sekarang ni.” Adnan tidak mahu ada pihak yang terluka. Dia tahu akan keakraban antara Iskandar dan Sofia, malah dia juga tahu kedudukan Iskandar dengan Zahlia, isterinya yang kini bertugas di Kuala Lumpur.
“ entahlah Nan. Aku tak tahu nak beritahu dia macam mana. Aku taknak kehilangan dia Nan.” Ada nada resah dalam kata-kata itu. Iskandar bingung. Bingung dengan keadaan sekarang. Dia sendiri tidak menyangka, pertukaran dia ke Kemaman menemukan dia dan Cikgu Sofia. Sejenak dia terlupa siapa dirinya.
“ Is, walau rumah tangga kau dan Lia di hujung tanduk tapi kamu berdua masih suami isteri yang sah. Kau tak boleh buat macam nie pada Lia dan Sofia, Is. Salah.” Sebagai kawan rapat ketika menuntut dahulu, tidak salah rasanya dia menasihati Iskandar. Walaupun ia hal yang amat peribadi. Melihat Iskandar terdiam, Adnan menyambung hujah.
“ Is, Sofia tak salah dalam hal ni. Dia tak tahu apa-apa. Lia pula masih ada hak ke atas kau sekalipun kau menafikan. Is, aku rasa baik kau beritahu hal yang sebenar pada Sofia, tak adil bagi dia. Sekalipun hubungan kamu berdua berkembang, satu masa nanti kau tetap kena pilih antara dua. Baik kau fikir baik-baik kawan.” Benar kata Adnan, sekalipun hubungan dia dan Zahlia bagai retak menanti belah, Lia tetap isterinya yang sah. Selagi dia tidak menjatuhkan talak selagi itulah dia punya tanggungjawab dan Sofia, gadis itu…..
(Judul lagu: Tuhan Tolong)
Kurasa getaran cinta
Di setiap dakapan matanya
Andai ku cuba ntuk berpaling
Akankah sanggupku hadapi kenyataan ini 

Oh Tuhan tolonglah aku
Jangan engkau biarkan diriku jatuh cinta kepadanya
Sebab andai itu terjadi
Akan ada hati yang terluka
Tuhan tolong diriku

Walaupun terasa indah
Andaikan ku dapat juga dirinya
Namun ku harus tetap bertahan
Menjaga cinta yang terlebih dulu kujalani
……………………………
Majlis pernikahan sekadar menunggu masa, menanti kehadiran pengantin lelaki dan tok kadi. Di dalam bilik pengantin yang dirias indah Sofia tidak keruan. Ke hulu dan ke hilir sambil memegang sikat bulat. Dipegang kemas sikat merah hitam itu. Hatinya terusik. Berdebar-debar. Baru sebentar tadi dia siap didandan oleh mak andam dan jurusolek. Lalu ditinggalkan sendirian di dalam bilik. Sementara kedua-dua penolongnya tadi mengisi perut yang kosong sejak pagi tadi. Sofia resah. Hari ini merupakan hari Jumaat yang bersejarah dalam hidupnya. Hari dia bakal dihijabkabulkan dengan sang kekasih hati. Getaran hati masih tidak surut. Lantas dicapai telefon bimbit di atas meja solek. Seusai mengambil tempat di hujung kepala katil, dia menelefon Iskandar. Dalam hatinya, dia berdoa agar Iskandar cepat mengangkat telefon.
“ awak….” Sofia merengek.
“ kenapa nie” Iskandar buat-buat tak faham.
“ saya gemuruhlah… takut..”
“ takut apanya.. lelaki yang jabat tangan tok kadi. Bukan perempuan kan? Yang awak lebih-lebih berdebar ni kenapa?” Iskandar buat-buat marah.
“ ish awak nie, saya telefon nak dia redakan. Main-main pulak.” Di hujung talian Iskandar tergelak besar. Gembira hatinya mendengar rajukan Sofia. Dia tahu walau Sofia gemuruh tetapi dalam hatinya menyulam bunga-bunga bahagia.
“ ala, saya gurau pun tak boleh. Garangnya pengantin ni”. Sofia mencebik.
“ awak dah kat mana?”
“ dah nak sampai ni. Sabarlah… takkan larinya pengantin lelaki awak. Oklah awak, dah sampai depan rumah awak nie. ” Iskandar memutuskan talian. Memberi perhatian pada pemanduan, mencari tempat letak kereta yang sesuai. Wanita di sebelahnya tidak putus-putus senyum. Tahu akan kemanjaan Sofia pada Iskandar.
Dari luar, Sofia dapat mendengar riuh rendah tetamu.
“ pengantin lelaki dah sampai. Tok kadi ada sekali” laungan seorang lelaki dari luar itu membuat dia tidak betah. Maryam di sebelah bagai memahami. Dia juga pernah melalui pengalaman begitu dahulu.
……………..
Majlis pernikahan akan dimulakan sebentar lagi. Pengantin lelaki siap berada di atas bantal sederhana besar, menanti dinikahkan. Baru sahaja tadi Sofia disoal tok kadi sama ada setuju atau tidak dinikahkan dengan lelaki yang dimaksudkan. Dengan tundukan malu, Sofia menjawab ya. Sekarang tiada apa yang menghalang. Seluruh tetamu menyatukan pandang pada upacara pernikahan.
“Rashid Amirul bin Hamid, aku nikahkan akan dikau dengan Nur Sofia binti Amran dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai”
“ Saya terima nikahnya Nur Sofia binti Amran dengan mas kahwin 80 ringgit tunai..”
Air mata Sofia menitis sejurus selepas mendengar lafaz nikah daripada Rashid. Hatinya benar-benar lega. Dia bahagia.
Seusai majlis persandingan yang berlangsung pada hari yang sama. Mereka berkumpul, menghantar Iskandar, isterinya dan bayi mereka pulang.
“ Rashid, si Sofia nie call aku tadi. Gemuruh lah. Takut lah.. Macam dia yang nak jabat tangan tok kadi.” Sengaja Iskandar mengeluarkan cerita itu. Menyakat Sofia yang kini sah sebagai isteri kepada sepupu isterinya.
“ dia telefon kau. Jealous ni.. ada ke patut nak kahwin dengan aku sempat lagi bermanja dengan kau” Rashid berseloroh, tanpa ada rasa cemburu mahupun berbelah bahagi terhadap cinta Sofia padanya.
“ abang ni… kesian Sofia tu. Merah dah mukanya tu.” Zahlia yang sibuk mengendong Natrah cuba menyelamatkan Sofia daripada usikan suami dan sepupunya. Sofia mencubit manja lengan sasa Rashid. Hilai tawa Iskandar dan Rashid pecah.
Hari itu hari yang membahagiakan. Mentari mencerahkan langit mendung cinta antara mereka berempat. Setahun lalu, Iskandar mengambil keputusan untuk memberitahu kedudukan sebenar kepada Sofia, seperti saranan Adnan. Sofia terkilan, tak disangka ada rahsia yang disembunyikan Iskandar namun dia tabah dan menasihati untuk Iskandar pulang pada Zahlia.
“ saya sedih.. Saya rasa bersalah sebab buat awak berada di tengah-tengah antara saya dan Lia. Kadang-kadang saya marah awak tentang Lia, saya selalu salahkan awak.” Sofia kadang-kala lemah atas apa yang terjadi. Benar dia sendiri yang meminta Iskandar kembali pada Zahlia. Ikatan perkahwinan antara mereka harus dipertahankan. Namun disebalik itu dia rasa berdosa terlalu menyalahkan Iskandar atas apa yang terjadi. Serta juga tidak memberikan ketenangan yang sepatutnya kepada Iskandar ketika lelaki itu memerlukan sokongan saat berada di tengah-tengah laluan. Antara dia dan Zahlia.
“ saya yang bersalah dalam hal ni. Awak tak perlu rasa apa-apa. Dah la, tak payah ingat kisah yang dah lepas biar tersemat dalam kotak hati je ok. Lepaskan apa yang berlaku. Saya minta maaf.” Iskandar tabah. Dan sering meletakkan kesalahan pada bahunya. Sofia mengakui Iskandar lelaki yang baik. Atas sayang yang masih ada dan dorongan Sofia serta Adnan dia membuka ruang bagi perkahwinannya dengan Zahlia. Mencantum kembali retak yang tercipta.
Tak disangka pula Zahlia, isteri Iskandar ialah sepupu rapat Rashid. Daripada cerita Zahlia lah, Sofia jatuh cinta sekali lagi pada Rashid. Zahlia lah yang menyedarkan Sofia betapa setianya Rashid. Betapa cinta Rashid padanya hingga amat terluka ketika ikatan pertunangan antara mereka terputus. Lalu Rashid ke Singapura. Atas desakan rindu, Rashid kembali mencantum kenangan cinta. Kesabaran dan kesungguhan Rashid membuka pintu hati Sofia, sekian kalinya.
~Tamat~
Siap pada 2.50 pagi.. Mula menulis 12.45 pagi.
07.12.10
Idea cerpen ni wujud selepas kata-kata seseorang.
“kisah yang dah lepas biar tersemat dlm kotak hati jer ok”
~terima kasih kerana menguatkan ku dan menemani lelahku. Nasihat tue berhargalah~
Erm… Rashid, bila nak datang meminang a’a?  tq Iskandar sbb sokong I cepat kawen, hahahhahaha..
<Photo 1>

2 comments:

Followers